Thursday, April 30, 2009

Bukit Kepong

SINOPSIS NOVEL BUKIT KEPONG

Novel ini mengisahkan Othman yang begitu berminat menjadi anggota polis walaupun mendapat tentangan daripada ibunya.

Setelah mengikuti latihan selama enam bulan di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur. Beliau mengahwini Limah dan membawa isterinya ke Pagoh.

Tidak beberapa lama kemudian, Othman dihantar bertugas di Rumah Pasung Bukit Kepong.Pada 23 Februari 1950, seramai 180 anggota komunis menyerang Rumah Pasung yang hanya dipertahankan oleh 18 orang anggota polis.

Pasukan polis telah diketuai oleh Sarjan Jamil Mohd. Shah, berjuang bermati-matian dalam pertempuran itu dari waktu malam hingga ke subuh.

Hanya empat orang anggota polis yang terselamat, termasuk Othman. Setelah menerima rawatan selama enam minggu di Hospital Muar, Othman dibenarkan bercuti.

Dia pulang ke kampung halamannya. Namun, didapati isterinya yang baru melahirkan anak lelaki ditimpa sakit jiwa. Apabila penyakit isterinya semakin teruk, Othman meletakkan jawatan.

Kaki Othman terpaksa dipotong kerana kecederaannya yang tidak dapat dipulihkan.

Peristiwa Bukit Kepong

Peristiwa Balai Polis Bukit Kepong adalah kesan kekejaman pengganas komunis semasa keadaan darurat selepas Perang Dunia II. Dalam kejadian tersebut balai polis Bukit Kepong diserang oleh segerombolan 180 orang pengganas komunis bermula sekitar jam 5.00 pagi pada 23 Februari 1950.
Dalam kejadian tersebut, para anggota polis berjuang habis-habisan sehingga seorang demi seorang gugur. Dua orang isteri anggota polis marin turut mengangkat senjata apabila mendapati suami mereka terkorban dan mereka terus bertempur bersama anggota-anggota lain sehingga kehabisan peluru.
Dalam mempertahankan balai polis Bukit Kepong, 17 orang anggota telah terkorban.

Kejadian Bukit Kepong

Kejadian Bukit Kepong adalah pertempuran bersenjata yang bersejarah yang berlaku pada 23 Februari 1950 antara pihak polis dan Parti Komunis Malaya semasa sebelum kemerdekaan Tanah Melayu. Pertempuran ini berlaku di kawasan sekeliling balai polis Bukit Kepong di Bukit Kepong. Balai polis yang diperbuat daripada kayu ini terletak ditebing sungai Muar, sekitar 59 km dari bandar Muar, Johor, Malaysia.
Kejadian ini bermula sebelum subuh apabila pihak Komunis melancarkan serangan gerila ke balai polis. Ia berakhir dengan tragik dalam penyembelihan berdarah dengan penyerang membunuh hampir kesemua pegawai polis yang bertugas di situ. Pihak komunis hendak menjadikan contoh dari serangan itu tentang apa yang akan terjadi kepada mereka yang menentang perjuangan Komunis. Apabila mereka memulakan pengepongan, pihak penyerang percaya bahawa mereka akan dapat mengalahkan polis dan mengawal stesen polis tersebut dalam tempoh yang singkat. Ini disebabkan beberapa faktor yang menyebelahi mereka:

1.Kelebihan senjata dan jumlah keanggotaan

2.Keadaan balai polis yang terpencil

Balai Polis Bukit Kepong terletak diselekoh sungai Muar, sebuah perkampungan kecil yang terpencil dengan sekitar dua puluh buah rumah dan kedai. Menjelang awal 1950, ia merupakan tumpuan pergerakan pihak komunis di situ. Ketika itu balai polis itu diketuai oleh Ketua Polis Balai (KPB) Sarjan Ray Dancey, yang pernah berkhidmat di Palestin. Ketika serangan ke atas balai tersebut, beliau telah lama ditukarkan dan jawatannya diambil alih oleh Sarjan Jamil Mohd Shah, kemungkinannya perkara yang diketahui oleh penyerang komunis.
Selain itu terdapat platun campuran 15 anggota polis Tugas Am dan Konstabel Polis Marin pimpinan Sarjan Jamil sendiri. Ketika itu pasukan ini turut diperkukuhkan oleh tiga konstabal polis khas dan empat Polis Tambahan bagi tugas mengawal dan lain-lain, yang menjadikan 22 orang anggota kesemuanya.
Tiga belas isteri dan anak-anak anggota tinggal di berek kelamin di sebelah belakang Balai. Sistem perhubungan yang sukar adalah sebab utama penempatan pasukan polis marin di situ malah, pengangkutan utama ke Bukit Kepong adalah dengan menaiki bot menyusuri Sungai Muar.

Serangan Komunis
Menurut saksi, terdapat sekitar 200 orang pengganas komunis daripada Kompeni Bebas ke-4 yang menyerang dan dipercayai diketuai oleh Muhammad Indera, Komunis Melayu yang diperdaya oleh pihak komunis Cina, di mana pada awal rancanganya Muhammad Indera dimaklumkan bahawa serangan itu sebagai amaran sahja, bagaimanapun ia bertukar menjadi tragedi buruk, ia juga disertai oleh Komisser Goh Peng Tun. Pihak komunis mengepong balai Polis dengan separuh di bahagian hadapan, bakinya mengelilingi balai polis tersebut. Pertempuran bermula sekitar 04.15 pagi. Apabila Konstabel Jaffar bin Hassan mencabar dan menembak mati seorang pengganas komunis yang sedang memotong kawat duri balai tersebut. Pihak komunis kemudiannya menyerang dari segenap sudut, terutamanya dari bahagian hadapan. Mereka berharap serangan ini mengejutkan pihak polis tetapi kini berhadapan dengan tentangan hebat anggota-anggota polis tersebut, terutamanya daripada dua kedudukan Bren Gun yang terletak di dalam kubu di bawah bilik Kawalan. Sungguhpun lebih sedikit, pihak polis yang diketuai oleh Sgt Jamil Mohd Shah, enggan menyerah, walaupun berkali-kali diseru oleh komunis agar mereka menyerah. Satu persatu anggota gugur apabila pertempuran berterusan dan dua orang isteri polis yang bertahan turut serta berjuang apabila mendapati suami mereka terkorban semasa pertempuran. [1]

Sekitar pukul 5 pagi pasukan Polis Bantuan beserta sekumpulan penduduk kampung yang lengkap bersenjatakan raifal dan senapang patah digerakkan di Kampong Jawa di bawah pimpinan penghulu Ali bin Mustaffa, dan bergerak untuk membantu. Mereka diserang hendap oleh komunis yang ditugaskan untuk menghalang sebarang bantuan dari luar dan beberapa orang kampung serta pihak komunis juga turut terkorban dalam pertempuran dikawasan itu. Sekitar masa ini, kedua-dua kedudukan Sten Gun turut dimusnahkan komunis.
Sekitar pukul 7 pagi, pihak komunis menawan seorang isteri polis Mariam Ibrahim, isteri kepada Konstebel Mohamad Jaafar. Dikhabarkan, ketua kumpulan komunis, Mat Indera memaksa Mariam merayu agar pihak polis menyerah tetapi tidak diendahkan oleh Jamil sendiri. Pada masa ini Fatimah Yaaba dan anaknya Hassan turut ditawan dan dipaksa menyeru pihak polis menyerah. Mereka yang bertahan enggan berbuat demikian dan terus berjuang habis-habisan. Apabila mereka enggan menyerah, Mariam dicederakan dan Fatimah dibunuh. Suami Fatimah, Konstabel Abu Bakar Daud yang bertugas sebagai pemandu bot di sungai Muar, turut berjuang menentang pihak komunis sehingga cedera setelah ditembak di dada dan tangan, ketika mempertahankan botnya.

Dalam detik terakhir pertempuran hebat itu, komunis membakar berek kelamin dan balai polis. Dua wanita dan anak-anak mereka terbakar hangus dalam berek kelamin. Pada ketika itu hanya 3 orang anggota polis dan seorang pengawal kampung yang masih hidup. Mereka meluru keluar dari balai yang terbakar dan merempuh kedudukan komunis, membunuh sekurang-kurangnya tiga dari kumpulan pengganas yang cuba menghalang mereka. Pihak komunis terus menembak mereka yang cuba lari daripada balai polis yang sedang terbakar itu. Ketika ini penduduk kampung Durian Chondong disebelah barat menghantar bot ke Lenga untuk memberitahu pihak berkuasa mengenai serangan ini.

Hanya selepas lima jam bertempur, baru pihak komunis berjaya menawan balai polis dan membakar balai tersebut. Mereka kemudian berundur kedalam hutan, meninggalkan kesan kemusnahan dan kematian. Pihak komunis turut melontar mereka yang tercedera dan mayat mereka yang terkorban ke dalam api. Antaranya termasuk Hassan bin Abu Bakar anak kepada Konstebal Abu Bakar yang dicampak hidup-hidup kedalam api.

14 anggota polis termasuk Sarjan Jamil, 4 pengawal kampung, 3 polis bantuan, isteri Abu Bakar Daud (adalah seorang polis yang terselamat) dan tiga anak mereka terbunuh dalam kejadian tersebut. Jumlah kematian adalah 25 orang. Mereka yang terselamat pertempuran maut itu adalah 4 anggota polis dan 9 ahli keluarga termasuk isteri dan anak mereka.

Contoh Soalan (15 markah)
1. Jelaskan latar masa dan peristiwa berdasarkan novel yang anda telah pelajari

2. Bandingkan watak utama dalam dua buah novel yang anda telah kaji


KOLEKSI SOALAN NOVEL ( 2001-2008 )


TAHUN 2001 (N)
4a
Pada pendapat anda, wajarkah pengarang mengakhiri cerita seperti yang terdapat dalam novel yang anda pelajar ?
4b
Huraikan empat persoalan yang terdapat dalam novel yang telah anda pelajari itu.

TAHUN 2002 (J)
4a
Tulis sinopsis novel yang telah anda pelajari.
4b
Huraikan empat nilai murni yang terdapat dalam novel yang telah anda pelajari itu.

TAHUN 2002 (N)
4a
Jelaskan tema novel yang telah anda pelajari
4b
Huraikan latar masyarakat dalam novel yang telah anda pelajari

TAHUN 2003 (J)
4a
Plot merupakan aspek penting dalam pembinaan sebuah novel. Berdasarkan novel yang telah anda pelajari, jelaskan klimaks novel berkenaan dan peristiwa-peristiwa yang membawa kepada kesudahan cerita.
4b
Huraikan empat latar tempat berdasarkan sebuah novel yang telah anda pelajari.

TAHUN 2003 (N)
4a
Kegigihan merupakan salah satu persoalan yang terdapat dalam novel yang telah anda pelajari. Buktikan pernyataan tersebut.
4b
Huraikan watak utama novel yang telah anda pelajari

TAHUN 2004 (J)
4a
Watak utama sesebuah novel sering dikaitkan dengan pelbagai cabaran. Berdasarkan novel yang telah anda pelajari, huraikan cabaran-cabaran yang dihadapi oleh watak tersebut.
4b
Huraikan empat pengajaran daripada novel yang telah anda pelajari

TAHUN 2004 (N)
4a
Huraikan tiga nilai kasih sayang yang terdapat dalam novel yang anda kaji
4b
Konflik merupakan perkara yang menarik dalam sesebuah cerita. Berdasarkan novel yang anda baca, jelaskan bagaimana watak utama menyelesaikan konflik yang dihadapi.

TAHUN 2005 (J)
4a
Watak sampingan turut memainkan peranan penting dalam sesebuah novel. Berdasarkan novel yang telah anda pelajari, huraikan perwatakan satu daripada watak sampingan tersebut.
4b
Pengarang banyak memberikan teladan kepada pembaca melalui peristiwa-peristiwa yang dipaparkan dalam novelnya. Jelaskan tiga peristiwa yang dapat anda teladani berdasarkan novel yang anda pelajari.

TAHUN 2005 (N)
4a
Terdapat pelbagai peristiwa menarik yang dipaparkan dalam sesebuah novel. Huraikan dua peristiwa paling menarik dalam satu novel yang telah anda pelajari. Mengapakah anda berpendapat demikian?
4b
Berdasarkan dua novel yang anda pelajari, bandingkan satu latar tempat dalam setiap novel itu.

TAHUN 2006 (J)
4a
Pertentangan antara watak banyak terdapat dalam sesebuah novel. Huraikan dua peristiwa yang menunjukkan pertentangan antara watak dalam sebuah novel yang anda telah kaji.
4b
Berdasarkan dua buah novel yang anda telah kaji, jelaskan dua nilai kemasyarakatan daripada setiap novel tersebut.

TAHUN 2006 (N)
4a
Huraikan pengajaran yang terdapat dalam sebuah novel yang anda telah kaji.
4b
Berdasarkan dua buah novel yang anda telah kaji, jelaskan satu persoalan daripada setiap novel tersebut.

TAHUN 2007 (J)
4a
Nilai setia kawan sering dipaparkan dalam sesebuah novel.
Huraikan dua nilai setia kawan dalam sebuah novel yang anda pelajari
4b
Berdasarkan dua buah novel yang anda pelajari, huraikan tema dalam setiap novel itu.

TAHUN 2007 (N)
4a
Berdasarkan sebuah novel yang anda pelajari, jelaskan dua peristiwa yang dapat dikaitkan dengan persoalan maruah.
4b
Berdasarkan dua buah novel yang anda pelajari, huraikan cara watak utama setiap novel menyelesaikan satu konflik yang dihadapinya.

TAHUN 2008 (J)
4a
Pemilihan tajuk sesebuah novel dapat dikaitkan dengan isi kandungan novel tersebut.
Buktikan pernyataan di atas berdasarkan sebuah novel yang telah anda kaji.
4b
Berdasarkan dua novel yang telah anda kaji, berikan tiga pengajaran yang terdapat dalam setiap novel.

TAHUN 2008 (N)
4a
Bahagian permulaan sebuah novel memainkan peranan yang penting kepada pembaca untuk meneruskan pembacaan.
Berdasarkan sebuah novel yang anda pelajari, jelaskan dua sebab bahagian permulaan novel itu menarik minat anda.
4b
Bandingkan, iaitu dari segi persamaan dan perbezaan, satu latar masyarakat dalam dua buah novel yang anda pelajari

No comments: