Monday, April 20, 2009

Rumusan_Contoh

Contoh Soaalan

Baca petikan di bawah dengan teliti. Kemudian, tulis satu rumusan tentang peranan remaja dalam menghayati kemerdekaan tanah air dan sebab-sebab remaja perlu menghayatinya. Panjang rumusan anda mestilah tidak melebihi 120 patah perkataan.
[30 markah]

Generasi muda negara ini seharusnya bersyukur kerana dilahirkan dalam suasana pascamerdeka yang aman dan makmur. Namun, di sebalik kemakmuran dan kejayaan yang dicapai Malaysia, para remaja harus menyedari kepentingan menghayati semangat kemerdekaan yang sebenar agar kemerdekaan negara dijaga dan dihormati. Dalam usaha kita menyambut kemerdekaan, remaja seharusnya merenung dan menghayati hakikat kemerdekaan itu sendiri.

Era globalisasi pada hari ini banyak memberikan pendedahan kepada golongan remaja terhadap kepelbagaian budaya dan idealisme. Pengaruh media massa yang amat kuat menyebabkan sesetengah daripada golongan remaja memandang tinggi terhadap segala yang datang dari Barat. Sungguhpun dunia Barat amat maju dalam pelbagai bidang namun kemodenan yang dicapai oleh mereka ada kepincangannya. Sebagai contoh, masyarakat di Barat begitu ghairah mengejar kemajuan materialistik sehingga mengabaikan nilai-nilai murni lalu menyebabkan institusi kekeluargaan mereka menuju keruntuhan. Oleh yang demikian, para remaja mestilah arif memilih nilai-nilai yang baik dan tidak terpengaruh dengan perkara yang negatif.

Dalam menelusuri nikmat kebebasan, para remaja seharusnya tidak lalai dalam mempertingkatkan ilmu pengetahuan dan keterampilan. Biar apa pun bangsa kita, kita seharusnya sentiasa berfikiran terbuka dan bersedia untuk memajukan diri dan negara. Apabila negara membangun dalam keseimbangan, negara akan lebih disegani dan dihormati oleh negara lain. Sekiranya ini tidak menjadi asas pegangan, maka negara akan jauh ketinggalan daripada aspek pembangunan fizikal dan rohaniah. Oleh itu, negara akan mundur dan kesejahteraan rakyat tidak mungkin tercapai. Remaja tidak boleh dengan bebas dan sesuka hati mengeluarkan kenyataan yang menyentuh sensitiviti kaum atau agama.

Dalam masyarakat majmuk, hal ini menjadi cabaran yang besar dalam memupuk perpaduan kaum. Amat menyedihkan apabila terdapat segelintir remaja bertindak di luar batasan dengan memperlekeh atau menghina agama dan bangsa lain, apatah lagi disuarakan dalam bulan kemerdekaan ini. Dalam hal ini, remaja diajar supaya berakhlak mulia sesama insan lain walaupun berlainan bangsa dan agama. Remaja mestilah menghormati adat resam dan budaya orang lain, tidak mengira bangsa dan agama.

Sememangnya setiap sambutan ulang tahun kemerdekaan itu menyediakan peluang untuk remaja bergembira atau bersukaria. Namun remaja harus bijak memilih agar tidak terjebak dengan acara-acara yang mungkin membawa remaja ke arah mendekati perkara negatif. Apa yang menyedihkan, kita sering mendengar kisah remaja yang terlibat dengan gejala negatif pada malam sambutan kemerdekaan, seperti meminum arak, penyalahgunaan dadah, kegiatan lumba haram dan pergaulan bebas antara berlainan jantina.

Oleh itu, adalah penting untuk remaja memastikan terdapatnya pengisian bermanfaat serta membina terhadap sambutan kemerdekaan yang dianjurkan. Acaraacara yang dirancang seharusnya berpotensi menyemai nilai-nilai kesedaran. Remaja tidak seharusnya mencemari kehormatan kemerdekaan dengan unsur-unsur yang tidak berakhlak serta salah di sisi agama dan undang-undang.



JAWABAN Bagi Soalan rumusan

Pendahuluan
Petikan membincangkan cara-cara remaja dapat menghargai kemerdekaan negara.

Isi Tersurat
1. merenung dan menghayati hakikat kemerdekaan
2. bijak memilih nilai-nilai yang baik dan tidak terpengaruh dengan perkara yang negatif.
3. tidak lalai dalam mempertingkatkan ilmu pengetahuan dan keterampilan
4. sentiasa berfikiran terbuka dan bersedia untuk memajukan diri dan negara
5. tidak boleh dengan bebas mengeluarkan kenyataan yang menyentuh sensitiviti kaum atau agama
6. menghormati adat resam dan budaya orang lain, tidak mengira bangsa dan agama.
7. tidak terjebak dengan acara-acara yang mungkin menyebabkan diri mendekati perkara negatif
8. memastikan terdapatnya pengisian bermanfaat serta membina terhadap sambutan kemerdekaan yang dianjurkan
9. tidak mencemari kehormatan kemerdekaan dengan unsur-unsur yang tidak berakhlak serta salah di sisi agama dan undang-undang
Isi Tersirat
1. remaja akan mewarisi kepimpinan negara pada masa hadapan
2. remaja perlu mempunyai perasaan cinta akan negara
3. remaja perlu menghargai jasa tokoh-tokoh yang memperjuangkan kemerdekaan
4. remaja yang menghargai kemerdekaan akan memelihara keamanan yang dikecapi sekarang
Penutup
Para remaja perlu menghargai kemerdekaan yang dinikmati oleh negara agar kemerdekaan ini dapat dikekalkan.

Soalan 2(a):

Berdasarkan petikan di atas, jawab soalan-soalan berikut menggunakan perkataan anda sendiri.
(i) Berikan maksud rangkai kata mengejar kemajuan materialistik.
[2 markah]
(ii) Berdasarkan petikan, mengapakah remaja perlu mempertingkatkan ilmu pengetahuan dan keterampilan?
[3 markah]
(iii) Pada pendapat anda, mengapakah sesetengah remaja kini tidak menghargai kemerdekaan tanah air? Berikan empat sebab.
[4 markah]




Jawaban bagi Soalan 2(a):


(i)
... mendapatkan kesenangan dalam kebendaan

(ii)
... remaja yang berpengetahuan akan dapat memajukan diri dan negara
... negara akan lebih disegani dan dihormati negara lain
... jika pengetahuan tidak dijadikan asas pegangan, negara akan jauh ketinggalan
... negara akan mundur dan kesejahteraan rakyat tidak mungkin tercapai
(iii)
... remaja kini hidup dalam kemewahan dan kesenangan
... hidup leka dengan hiburan dan keseronokan
... tidak dapat merasai penderitaan yang dialami oleh pejuang kemerdekaan
... menganggap keamanan dan kesenangan hidup pada masa ini diperoleh dengan mudah

No comments: